BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS
Showing posts with label pendidik. Show all posts
Showing posts with label pendidik. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

Peranan Guru mengikut pandangan Al-Ghazali


Abdul Salam Yussof (2003) telah menggariskan lapan tugas dan kewajipan guru di sekolah. Berdasarkan apa yang dinyatakan dalam kitab karangan Imam Al-Ghazali yang begitu hebat pengaruhnya iaitu Ihya Ulum Al-Din dan Mizanul Amal. Antaranya ialah:

1.     Guru perlulah ikhlas bekerja kerana Allah SWT, tidak boleh hanya mengharapkan upah dan pembalasan dan ucapan terima kasih daripada tugas.
2.     Guru mesti mempunyai belas kasihan kepada pelajar-pelajarnya.
3.     Guru hendaklah menasihati para pelajarnya tentang cara-cara belajar.
4.     Guru perlu menjaga maruah dan imej pelajar dari segi psikologi.
5.     Guru yang mengkhusus dalam bidang tertentu tidak boleh memperkecilkan bidang-bidang ilmu yang lain.
6.     Guru perlulah mengajar mengikut kesesuaian tahap kemampuan akal pemikiran pelajarnya.
7.     Guru perlu mengajar dengan jelas kepada pelajar yang lambat memahami sesuatu perkara.
8.     Guru perlulah mengamalkan apa yang diajar.

Dalam soal keikhlasan ini, Imam Al-Ghazali menyebut bahawa:

“Wajib membetulkan niat murid-murid, maka wajib juga membetulkan niat guru, bahkan itu adalah lebih penting kerana ibadat mengajar lebih penting daripada ibadat belajar.”

Dipetik dan sedikit ubahsuai dari buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik oleh Razali Saaran

Wednesday, February 23, 2011

Anda Sangat Beruntung



“Setelah sekian lama kami menghambakan diri dalam bidang pendidikan ini kami tidak pernah kaya, maka bagaimana dikatakan beruntung. Gaji kami jika dibandingkan dengan kerjaya lain masih lagi ketinggalan. Misalnya seorang pekerja yang bekerja sebagai ekskutif di sebuah syarikat GLC yang terkenal di seluruh dunia mendapat gaji permulaan yang tinggi, hampir mencecah empat ribu sebulan. Itu belum lagi dicampur dengan elaun-elaun yang lain.”

            Wahai guru, jika itu yang menjadi ukuran untung atau rugi pada pandangan anda, maka anda silap. Sebagai bukti, mari kita perhatikan hadis-hadis di bawah ini.

Diriwayatkan dari Abu Darda’, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Manusia itu terbahagi kepada dua golongan. Pertama yang mengajar. Kedua, orang yang belajar, kemudian tidak ada yang lebih baik setelah itu (daripada keduanya).”
[Riwayat Imam Darumi]

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud:

“Ingatlah, sesungguhnya dunia ini terlaknat. Semua seisi dunia itu terlaknat kecuali orang yang ingat kepada Allah SWT atau melakukan sesuatu yang dekat dengan memperingatiNya dan orang yang mengajar serta orang yang belajar.”
[Riwayat Imam Tirmizi dan Ibnu Majah]

Diriwayatkan pula daripada Abu Umamah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT, para malaikat, penghuni langit dan bumi, termasuk semut yang berada di dalam lubang dan ikan paus, sesungguhnya akan memberkati dan memberi rahmat kepada orang yang mahu mengajarkan kebaikan (ilmu) kepada manusia.”
[Riwayat Imam Tirmizi]

Diriwayatkan daripada Fudhail bin ‘Ayyad r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud:

“Orang berilmu yang berusaha mencipta, orang yang mahu mengajarkan ilmunya akan didoakan oleh seluruh penghuni kerajaan langit.”
[Riwayat Imam Tirmizi]

            Sekiranya material yang menjadi ukuran untung atua rugi buat anda yang bergelar guru, maka itu satu kesilapan besar. Mengertilah, bahawa dunia ini hanya bersifat sementara dan akhiratlah yang kekal abadi selama-lamanya. Hadis-hadis di atas sebagai bukti bekalan buat kita bertemu Allah SWT selagi mana kita ikhlas terhadapNya. Sebagai seorang guru, dua keberuntungan yang akan diperoleh. Iaitu semasa di dunia seperti kita dibayar gaji, dinaikkan pangkat, menerima anugerah dan dihormati oleh anak didik kita. Keduanya pula, apabila kita bertemu Allah nanti, InsyaAllah dengan syarat kita sentiasa mengikhlaskan hati di dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak didik semata-mata kerana Allah. Oleh itu yakin dan percayalah bahawa guru adalah kerjaya yang menguntungkan, biarpun tiadak sekaya mana semasa di dunia ini.

Dipetik dari buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik oleh Razali Saaran


Wednesday, February 9, 2011

SIAPAKAH GURU


Perkataan ‘guru’ berasal dari bahasa Sanskrit yang membawa maksud pengajar, pendidik, Mudaris dan pengasuh (Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas). Manakala menurut kamus dewan, guru bermaksud orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh. Abdul Salam Yussof (2003) pula mengatakan bahawa Imam Al-Ghazali mengistilahkan guru itu sebagai Al-Mudarris (pengajar), Al-Muaddib (pendidik), Al-Mu’alim (guru) dan Al-Walid (orang tua).

Secara umumnya, dapatlah difahami bahawa guru adalah golongan yang ditugasnya menyampaikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni kepada seseorang individu atau kumpulan tertentu. Guru yang dimaksudkan di sini, boleh jadi mereka yang mengajar di sekolah kerajaan atau swasta, pusat pengajian tinggi awam atau swasta, atau apa jua institusi  yang dalamnya wujud dua unsur utama iaitu mengajar dan yang diajar. Contohnya individu yang mengajar Al-Quran di rumah, pakar seni silat yang mengajar di pusat latihannya sendiri ataupun individu yang membuka kelas masakan di tempat yang tertentu, bolehlah dianggap sebagai guru kerana mereka mengajar dan adanya golongan yang diajar. Namun, dalam konteks guru yang dibincangkan di sini, ia lebih mengarah kepada guru-guru yang mengajar di sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi yang sememangnya dilatih untuk menjadi guru dengan berbekalkan kaedah-kaedah tertentu yang sesuai diguna pakai di pusat-pusat pengajian samada di peringkat rendah, menengah mahupun universiti.

Selain itu, tidak semua boleh digelar guru melainkan mereka benar-benar arif dalam bidang tersebut dan terlatih kerana pendidik itu adalah satu profesion yang memerlukan kepada ilmu dan kemahiran yang khusus. Tanpa ilmu berkaitan perguruan, maka ia dianggap bukan pendidik yang sebenar berdasarkan pandangan profesion perguruan itu sendiri.

Firman Allah SWT dalam Al-Quran, maksudnya:

“(Apakah kamu wahai orang musyrik yang lebih beruntung) ataukah orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.”

[az-Zumar : 9]

Dengan ini, dapatlah dikatakan bahawa guru adalah suatu profesion yang memerlukan kemahiran tertentu sebelum mereka benar-benar boleh bergelar seorang guru.

Dipetik dari buku Hebatnya Cara Rasulullah Mendidik oleh Razali Saaran



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

papan kenyataan

Murid-murid kesayangan

Selamat datang